Friday 7 October 2011

Balasan curi van


MARANG: Hasrat dua lelaki meraih keuntungan dengan menjual sebuah van dicuri tidak kesampaian apabila perbuatan mereka terdedah selepas seorang remaja lelaki mengenali pemilik sebenar kenderaan berkenaan.
Dua suspek terbabit yang berusia 30-an itu turut cedera akibat dibelasah orang ramai apabila kegiatan mereka itu didedahkan remaja lelaki berkenaan di Jalan Rhu Renggeh, Rusila, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, remaja berkenaan yang menaiki sebuah motosikal terserempak dengan dua suspek terbabit memandu van curi di Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu, di sini.

Keadaan suspek yang mencurigakan selain dia mengenali pemilik sebenar van itu menyebabkan lelaki terbabit membuat keputusan mengekori kedua-dua suspek.

Bagaimanapun, suspek terbabit yang menyedari diekori cuba melarikan diri memecut van berkenaan selain beberapa kali menghimpit motosikal ditunggang lelaki terbabit bagi mengelaknya terus mengekori mereka.

Nasib malang menimpa kedua-dua suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah apabila tayar kiri van dinaiki tiba-tiba pecah menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum terbabas di Jalan Rhu Renggeh, di sini.


Sebaik tersadai di tepi jalan, kedua-dua suspek terbabit dibelasah pengguna jalan raya lain sebaik diberitahu mereka mencuri van berkenaan selain berang dengan tindakan suspek cuba menghimpit dan melanggar lelaki yang mengekorinya itu serta memandu secara berbahaya termasuk merempuh dua lampu isyarat.

Pergelutan itu bagaimanapun berjaya dihentikan selepas polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian sebelum kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, van jenis Nissan Vanette dicuri dua suspek berkenaan adalah milik seorang buruh yang menetap di Kampung Binjai Manis, Manir, Kuala Terengganu.

Kenderaan itu dikatakan hilang sejak Selasa lalu selepas diletakkan di kawasan tempat letak kereta pusat peranginan Batu Buruk kira-kira jam 6 petang ketika mangsa melawat adik iparnya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Mangsa membuat laporan kehilangan kenderaannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam hari yang sama Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohd Zohan Seman yang dihubungi di sini semalam, mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek yang cedera dibelasah dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

2 comments:

  1. jahat dibalas jahat
    jmput komen di blog

    ReplyDelete
  2. ambik..biar dia rasa...walaupun perbuatan membelasa org yg bersalah adalah salah...biar jadi pengajaran wat sesiapa yg berminat nak mencuri...

    ReplyDelete

Followers